ACP Sarifudin Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta yang telah disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar penunggang motosikal dari arah belakang sehingga menyebabkan kematiannya pada 12 Mac lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Trafik di Jalan Duta, di sini, esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kematian.

“Esok (Khamis) kita akan mengheret suspek ke mahkamah Majistret Jenayah Trafik 13 jam sekitar 8.45 pagi untuk dituduh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan awal polis dalam insiden jam 1.10 pagi 12 Mac lalu itu mendapati kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal sedang menunggang dari arah Jalan Kinabalu ke Jalan Kuching telah dilanggar dari arah belakang oleh kereta Myvi di laluan yang sama.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal telah terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tembok penghadang jalan.

“Penunggang motosikal seorang lelaki berumur 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu motokar seorang lelaki berumur 32 tahun mengalami kecederaan ringan telah ditangkap dan ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette