Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Apabila bercakap mengenai naratif muda dalam politik, ramai beranggapan seseorang pemimpin itu mesti berumur bawah 40 tahun.

Tanggapan itu jelas terpesong sama sekali dari perspektif sebenar dan perlu diperbetulkan agar masyarakat terutama pengundi tidak keliru dengan naratif muda.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, tanggapan salah itu bermula apabila kerajaan Malaysia bersetuju menurunkan umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Dengan itu, katanya, rata-rata beranggapan pemimpin yang akan memimpin negara selepas ini perlu berumur 20 hingga 30 tahun dan menyifatkan mereka berumur 40 tahun ke atas sebagai tua serta tidak layak menjadi calon atau wakil rakyat.

“Saya perhatikan, perkara ini sengaja diperbesarkan oleh dua pemimpin pembangkang iaitu Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Mereka perbesarkan isu naratif orang muda dan naratif ini timbul apabila negara kita bersetuju umur 18 tahun boleh mengundi dan pendaftaran secara automatik serta boleh jadi calon.

“Maka, riuh rendahlah nakkan calon muda dan ini berlaku di Johor, yang mana sayap parti menuntut kuota calon muda dari 20 hingga 50 peratus. Saya berpendapat, mereka ini terperangkap dengan naratif muda dengan tidak memahami perspektif sebenar,” katanya di sini semalam.

Menurut Ibrahim, apabila minda mereka terperangkap dengan perspektif muda, masing-masing bercakap kalau diadakan pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) calon mesti berumur bawah 40 tahun.

Katanya perspektif itu tidak betul sebab konsep kepimpinan tidak bergantung kepada umur, melainkan memiliki pengalaman dan matang dalam selok belok kepemimpinan serta pentadbiran.

“Sebagai contoh, Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun usianya sudah lebih 90 tahun, tetapi masih cergas, apa masalahnya? Perdana Menteri Jepun umur lebih 100 tahun tetapi masih cergas. Apa masalahnya?

“Betullah seeloknya umur biarlah sesuai, tetapi kalau sebut muda, jangan kita salah faham usianya mesti 20, 30 tahun, sebab dalam perspektif pimpinan Islam, Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul ketika umur 40 tahun,” katanya.

Kata beliau, umur 40 tahun ke atas dikira penanda aras tapi minda sesetengah pihak menyatakan muda itu berumur 18 tahun tanpa ada pengalaman, tidak memahami selok belok pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

“Kita mahu mereka mampu dan berupaya mengupas undang-undang, selain perhubungan manusia antara orang muda dengan orang tua supaya tidak senonoh dan beradab ketika turun padang.

“Bayangkan, di umur muda sudah jadi menteri, akibatnya kita tengok tiba-tiba bertukar gaya hidup dengan kereta hebat, pakaian bergaya, megah dan mula terpalit dengan perkara tidak baik.

“Tambahan pula, pada saya, lebih cepat orang muda naik, lebih mudah mereka terjebak dengan rasuah. Saya bukan nak menuduh, tapi ini teori saya,” ujarnya.

Sebab itu, beliau mengingatkan pihak berkenaan agar jangan silap dalam memahami naratif orang muda, sekali gus menganggap tua sudah tidak berguna lagi.

Beliau berharap, rakyat Malaysia dalam mengutarakan naratif politik mengikut peredaran semasa, jangan lupa melihat sesuatu itu dalam perspektif yang betul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast