Pewartaan itu bertujuan bagi memastikan peranti rokok elektronik yang dihasilkan mahu pun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan dalam perintah tersebut.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mewartakan peranti rokok elektrik (vape) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang akan berkuatkuasa pada 3 Ogos ini.

Menerusi kenyataan, KPDNHEP memaklumkan ia merupakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik (Vape Device) 2022.

Pewartaan itu bertujuan bagi memastikan peranti rokok elektronik yang dihasilkan mahu pun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan dalam perintah tersebut.

“Perintah ini mewajibkan pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku pihak berkuasa yang berwibawa dilantik oleh KPDNHEP,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya atau pada bekas peranti itu dibekalkan agar mudah dilihat oleh pengguna.

“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada peranti rokok elektronik menunjukkan ia telah mematuhi standard dan selamat digunakan,” tambahnya.

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport dimana jika kesalahan dilakukan oleh syarikat boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Manakala, jika kesalahan itu dilakukan oleh individu denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah kenyataan itu lagi, pewartaan itu merupakan inisiatif kerajaan prihatin atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

“KPDNHEP berharap isu lambakan peranti rokok elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Macam tu lah baru bagus . Pengguna dapat barang bermutu pengilang tak boleh cincai buat barang sampah sekali guna buang .

Comments are closed.