MELAKA – Dua sahabat didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas tuduhan pecah masuk rumah bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Adib Kasim, 32 dan Fais Yusoff, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan pecah rumah milik Mohd Hamizzuri Huri, 48, untuk mencuri barangan berupa sebentuk cincin kahwin platinum lelaki, seutas gelang emas, rantai emas, jam tangan pelbagai jenama anggaran nilai RM5,000.

Selain itu, enam buah beg tangan pelbagai jenama anggaran RM8,000 satu beg sandang yang mengandungi wang campuran luar negara anggaran RM2,000, tiga kunci motosikal bersama cukai jalan, minyak wangi anggaran RM700.

Turut dicuri alat kawalan jauh pintu pagar, polisi insurans kereta Toyota Harrier, dompet mengandungi kad bank, kad insurans, lesen memandu isteri, dua komputer riba, dua unit telefon, seunit tablet, serangkai kunci kereta dan kunci rumah anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM2,000 dan sebuah kenderaan Toyota Harrier.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di rumah mangsa di Jalan M5 Taman Merak, di dalam daerah Melaka Tengah lebih kurang jam 8.15 malam 3 Mac lalu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Amrit Singh.

Terdahulu, Fiqri Hakim meminta mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam kedua-dua tertuduh bagaimanapun dalam rayuannya memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya masing-masing mempunyai tiga dan dua anak, bekerja sebagai pembantu makanan dan jurujual selain sudah berada lama dalam tahanan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan masing-masing tertuduh dijamin RM7,000 dengan dua orang penjamin selain perlu melaporkan diri setiap minggu di balai polis.

Kes akan disebut semula 19 Mei ini. – MalaysiaGazette