SHAH ALAM – Penghidap diabetes adalah tiga hingga empat kali lebih mudah untuk dijangkiti gejala COVID-19 yang serius berbanding individu yang tidak menghidap penyakit itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata, memandangkan penyakit diabetes telah lama wujud dalam masyarakat kita, rakyat perlu berusaha untuk membendungnya daripada terus menular yang akhirnya akan memberi kesan terhadap kualiti hidup penduduk Malaysia.
“Diabetes bukan sahaja dikaitkan dengan pengambilan gula berlebihan malah ia berkait rapat dengan cara pemakanan yang tidak terkawal dan amalan cara hidup yang tidak sihat,” katanya ketika berucap pada Kempen Perangi Diabetes anjuran Selangor FC dan syarikat farmaseutikal Sanofi Aventis Malaysia (Sanofi) yang berlangsung secara maya, hari ini.
“Ibu bapa juga harus menjadi contoh kepada anak-anak dalam mengamalkan cara hidup yang sihat bagi memastikan anak-anak kita terus sihat, cergas dan bebas daripada sebarang penyakit,” katanya.
Menurutnya tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiditi (NHMS) 2019 mendapati peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus (2019).