Antara lapan bot nelayan asing yang diusir tldm KD Lekiu ketika cuba menceroboh perairan negara untuk menangkap hasil laut di Pulau Perak hari ini. - Gambar Ihsan TLDM Lumut

KUALA LUMPUR – Tindakan lapan buah bot nelayan asing yang disyaki cuba menceroboh perairan negara untuk menangkap hasil laut secara haram ditumpaskan.

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD LEKIU sekali berjaya mematahkan cubaan sekumpulan bot nelayan asing itu.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut Perak berkata, pihaknya mengesan kesemua bot asing itu yang cuba memasuki sekitar perairan Pulau Perak kira-kira pukul 1 tengahari tadi.

“Penyaluran maklumat yang pantas menerusi Maritime Component Commander (MCC) Barat telah mengatur gerak aset yang terhampir iaitu KD LEKIU untuk ke lokasi pengesanan awal bot nelayan asing tersebut iaitu di sekitar perairan Tenggara Pulau Perak.

“Setiba di posisi pengesanan, KD LEKIU mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas dua buah bot nelayan asing di lapangan dan kekal membayangi bot asing itu sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Baki enam lagi buah bot nelayan asing lagi yang dilaporkan  telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara.

Terdahulu, pesawat B200T (RMF 364) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya mengesan keberadaan lapan buah bot nelayan asing itu dinyatakan di posisi kira-kira 67 batu
nautika tenggara Pulau Perak.

“Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut. Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat akan memastikan setiap tindakan menceroboh akan sentiasa dipatahkan baik dilaut mahu pun di darat.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“TLDM bersama agensi penguat kuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” tegas kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette