Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Selepas mencatatkan penurunan kes jangkitan positif Covid-19 tiga hari lalu, kes baharu meningkat dua hari berturut-turut.

Daripada lebih 10,000 kes pada Isnin, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan berlaku kenaikan kes pada Selasa dan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 12,105 kes direkodkan semalam 12,017 pada Selasa dan 10,002 kes untuk Isnin lalu.

Bagaimanapun, tambah beliau, kes sembuh menunjukkan peningkatan dengan 21,029 kes dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sembuh meningkat kepada 4,083,183 kes.

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu itu, kes import adalah sebanyak 43 kes dan bukan warganegara hanya dua kes.

“Kes tempatan pula merekodkan 12,062 kes iaitu 11,555 warganegara dan 507 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Dr. Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 221 kes iaitu 106 kes disahkan Covid-19, manakala 115 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 122 kes iaitu 53 kes disahkan Covid-19 dengan 69 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan, ujarnya. – MalaysiaGazette