Pengerusi Musolla Avenham Garden, Hafiz Roslan.

KUALA LUMPUR – Penduduk Avenham Garden, Eco Grandeur di Puncak Alam kesal tindak-tanduk Badan Pengurusan Bersama (JMB) taman perumahan itu yang didakwa tidak sensitif dengan penghuni Islam terutama dalam bulan Ramadan sekarang.

Ia termasuklah aduan azan berkumandang terlalu kuat dari surau di kawasan berkenaan.

Pengerusi Musolla Avenham Garden, Hafiz Roslan mendakwa rasa tidak puas hati penduduk Islam di situ bermula selepas ahli jawatankuasa JMB yang baharu dipilih didakwa memasang kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran surau berkenaan.

Badan pengurusan JMB itu juga didakwa mengunci stor surau hingga menyukarkan jemaah surau melakukan  aktiviti bulan Ramadan kerana stor itu diguna untuk menyimpan kerusi dan meja serta kelengkapan lain.

“Kami penduduk hidup dengan penghuni lain yang berbeza agama saling memahami antara satu sama lain bahkan tiada masalah pun dengan jiran-jiran kami yang lain.

”Cuma sekarang ini.. Pengerusi JMB yang membuat kecoh tentang isu azan yang mana beliau mendakwa 100 peratus aduan dibuat oleh penduduk bangsa-bangsa lain.

”Dia (Pengerusi JMB) kata, ada sejumlah 23 aduan yang diterima namun bila kita semak semula, kesemua aduan itu dia sendiri yang buat,”  katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kondominium Villa Puteri hari ini.

Isu ini dikemukakan oleh sekumpulan penduduk kepada PPIM untuk mendapatkan penyelesaian kekal walapun perkara itu telah mendapat campur tangan daripada pegawai daerah, penghulu mukim dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM)

Aveham mempunyai hampir 300 penghuni keluarga Islam.

Pada sidang yang sama, Hafiz mahu Pesuruhjaya Bangunan (COB) untuk memperincikan lantikan Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB/JMC) supaya tiada lagi isu sentimen keagamaan dimainkan.

Beliau juga mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperhalusi Seksyen 17 Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA), yang mana JMB tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan mana-mana perkara agama sebelum isu tersebut menjadi lebih serius.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan tidak menolak berkemungkinan ada pihak menyalahgunakan kuasanya dan mengenakan sekatan yang tidak boleh diterima ke atas surau di kondo tersebut.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

”Walaupun JMB ditubuhkan di bawah Seksyen 17 Akta Pengurusan Strata 2013, tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan mana-mana perkara agama.

“Kes ini jelas berlaku salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi seseorang. Kekurangan garis panduan dan undang-undang yang jelas dalam undang-undang perumahan tempatan dan akta berkaitan adalah salah satu sebab mengapa ini berlaku sejak awal lagi.

”Memang JMB bertanggungjawab ke atas kemudahan taman perumahan itu tetapi ia tidak boleh menghalang atau menyekat umat Islam daripada menunaikan solat di surau kondominium tersebut.

“JMB juga tidak mempunyai hak untuk menghentikan azan atau menutup surau untuk digunakan penduduk,” katanya sambil menyifatkan  tindakan JMB itu boleh menyebabkan ketegangan kaum.

Menurut Nadzim,  tidak masuk akal apabila ada laporan mengenai laungan azan yang kuat kerana ini bukan sesuatu yang baharu.

”Solat azan di masjid dan pembesar suara surau telah menjadi amalan lama, saya tidak nampak mengapa hanya individu tertentu yang tidak mahu menerimanya,” katanya.- MalaysiaGazette