Antara gambar yang ditunjukkan oleh penduduk Bandar Elmina yang mengalami masalah anjing liar di kawasan rumah mereka ketika mengadakan sidang media mengenai pemasalahan pembakaran teruka serta serta masalah anjing liar di Pejabat Sime Darby Elmina, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 APRIL 2022.

SHAH ALAM – Bilangan anjing liar yang semakin bertambah sehingga ada kes penduduk diserang haiwan berkenaan di kawasan perumahan Bandar Elmina di sini sehingga mengundang kebimbangan.

Mantan Bahagian Kebajikan Persatuan Penduduk Elmina Garden (EGRA) Hafiz Hamzani Firdaus Brohier berkata,  kumpulan anjing liar yang semakin bertambah sejak empat tahun kebelakangan ini dibimbangi mengancam keselamatan khususnya kanak-kanak.

Malah menurut beliau, penduduk yang beriadah di kawasan perumahan pernah diserang oleh anjing liar.

“Anjing berkenaan banyak di kawasan taska perumahan kami ini, bagaimana kalau anak-anak diserang, sebelum ini sudah pernah anjing-anjing liar menyerang penduduk yang jogging,” katanya ketika sidang media hari ini.

Isu berkenaan  antara topik yang dibincangkan dalam mesyuarat bersama wakil-wakil penduduk di pejabat Sime Darby hari ini.

Hafiz Hamzani. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 APRIL 2022.

Turut hadir Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22, Mohammad Shakir Ameer, Pengerusi EGRA, Sunildeep Singh dan Timbalan Pengerusi EGRA, Wen Keng Foong.

Menurut Hafiz, isu trafik yang semakin sesak di kawasan perumahan berkenaan juga turut dibangkitkan.

Beliau berkata, kepadatan penduduk ditambah  penduduk luar Bandar Elmina menjadi pengguna jalan raya di kawasan berkenaan menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu puncak.

Katanya lagi, dengan kewujudan tiga bulatan di Bandar Elmina yang disifatkan Hafiz mengundang bahaya kerana mempunyai bukit di tengah-tengahnya.

Bukit berkenaan, ujar beliau, menghalang pandangan pemandu.

“Semalam sahaja ada dua kemalangan yang berlaku sebenarnya di bulatan Elmina ini,” tambahya.

Di samping itu, penduduk, kata Hafiz,  tidak selesa dengan kebakaran terbuka yang berlaku di kawasan berdekatan dengan Bandar Elmina kerana membawa asap tebal ke kawasan perumahan.

“Asap ini mungkin sebab kebakaran kimia, anak-anak alami alahan, mata merah sehingga ada penduduk yang terpaksa menghantar anak-anak ke klinik sebab alahan. Rumah pun mudah berdebu sebab kebakaran terbuka ini,” katanya.

Terdahulu Hafiz mendakwa terdapat 14 kawasan pembakaran terbuka berdekatan dengan Bandar Elmina telah dikenal pasti oleh EGRA.

Sehubungan itu, pihaknya yang mewakili lebih kurang 40,000 penduduk di Bandar Elmina merayu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak segera menangani masalah berbangkit pada hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 22, Mohammad Shakir Ameer memberi jaminan akan mengambil langkah-langkah proaktif jangka masa pendek dan panjang untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk di kawasan itu.

Katanya, antara langkah yang akan diambil oleh MBSA adalah menangkap anjing-anjing liar di kawasan tersebut dalam masa terdekat.

“Sebenarnya tangkapan anjing ini memang dilakukan tapi mungkin anjing liar di kawasan ini semakin bertambah,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast