Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Menceburkan diri dalam dunia kejurulatihan bukan pilihan buat bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika ini.

Pemenang pingat perak tiga Sukan Olimpik itu mengakui beberapa pihak berminat mendapatkan khidmatnya sebagai jurulatih namun beliau belum berhasrat melangkah ke bidang tersebut.

Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu berkata, beliau mahu terus berada di negara ini bagi menikmati kemeriahan bazar Ramadan dan rumah terbuka Aidilfitri.

“Memang benar Chong Wei dapat tawaran, sudah pasti Chong Wei masih cintakan sukan badminton tetapi pada masa sekarang, Chong Wei tidak berniat untuk menjadi jurulatih.

“Chong Wei akan terus lepak di Malaysia, layan bazar Ramadan dan tunggu jemputan rumah terbuka raya (Aidilfitri),” kata juara All England empat kali itu dalam hantaran terbaru di laman Instagram rasminya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Chong Wei menerima tawaran sebagai jurulatih dari beberapa negara Asia malah bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, yang juga legenda badminton negara, turut memberikan sokongan.

Pada Jun 2019, Chong Wei mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun mencurah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast