Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi sumbangan kepada wakil Surau Amaniah pada Program Nur Ramadan Peringkat Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2022/1443H di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 07 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Lebih 2,856 ketua isi rumah di Wilayah Persekutuan yang berstatus miskin tegar  berjaya dibantu oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui program khusus dengan kerjasama beberapa pihak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, jumlah itu merangkumi 4,815 keluarga miskin tegar yang direkodkan sehingga tahun lalu di seluruh wilayah berkenaan.

“Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, hanya 600 keluarga miskin tegar ini masih belum mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak.

“Selebihnya mereka dapat sumbangan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Baitulmal, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Namun jumlah bantuan yang mereka perolehi itu masih rendah daripada paras kemiskinan tegar yang sewajarnya,” katanya pada pemberita selepas menghadiri Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya, malam tadi.

Menerusi program itu, seramai 200 orang penerima bantuan di Wilayah Persekutuan Putrajaya terdiri anak -anak yatim, warga emas, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan menerima sumbangan sebanyak RM200.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) pada Program Nur Ramadan Peringkat Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2022/1443H di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 07 APRIL 2022.

Tambah Shahidan, Yayasan Wilayah Persekutuan akan memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi membantu golongan miskin tegar sehingga akhir tahun ini.

Selain itu, KWP juga akan bekerjasama dengan sebuah univeristi dalam masa terdekat sebagai usaha untuk mensifarkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan ini.

“Kita akan pastikan mereka ini bukan setakat diberi bantuan, malah bantu mereka berusaha mendapatkan sumber pendapatan sendiri seperti bekerja daripada rumah atau terlibat dalam program ekonomi yang akan dibenarkan dengan sebuah universiti yang kita akan umumkan dalam masa terdekat.

“Dalam masa sama, kita akan sediakan kiosk perniagaan untuk 1,000 anak muda dan keutamaan akan diberikan kepada anak muda kategori B40. Saya juga galakkan golongan anak muda kategori M40 untuk turut terlibat sebab semua golongan akan diberi perhatian,” ujarnya.

Beliau juga menggalakkan syarikat swasta untuk turut sama terlibat dalam menangani kemiskinan bandar ekoran kos kehidupan yang semakin meningkat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR). – MalaysiaGazette.