Kelab Wanita IRIS MBPJ telah menganjurkan Sambutan Hari Wanita Petaling Jaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kembali aktif menggerakkan aktiviti mereka sebaik negara memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu selepas lebih dua tahun berehat akibat pandemik Covid-19,

Menerusi Kelab Wanita IRIS, MBPJ telah menganjurkan Sambutan Hari Wanita Petaling Jaya di Dewan Banquet, Dewan Sivik MBPJ  bertujuan untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan jasa wanita dalam pembangunan negara khususnya di Petaling Jaya.

Menggunakan slogan ‘Saksama Bersama’, tema sambutan Hari Wanita 2022 itu dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat serta kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan negara yang mampan agar ia selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG5) demi kebaikan komuniti Petaling Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir berkata, ia bagi menamatkan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita dan mengiktiraf serta menghargai kerja rumah tanpa gaji melalui peruntukan perkhidmatan awam, infrastruktur dan polisi

Pada masa sama, MBBJ mahu memastikan wanita diberi peluang yang sama untuk kepimpinan di semua peringkat dan mempunyai hak dalam membuat keputusan

“MBPJ mempunyai lima fokus utama yang digariskan oleh Kelab Wanita IRIS MBPJ di dalam Pelan Tindakan Pemberdayaan Wanita Petaling Jaya 2021-2025 iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan, kemudahan prasarana dan hak di dalam proses pembuat keputusan adalah selari dengan matlamat pembangunan mampan global.

“MBPJ turut menganugerahkan 10 thematic champions PJSSR 2030 kepada wanita, yang mana ia merupakan pertama kali anugerah mengikut 10 thematic.

“10 thematic ini merupakan konsep perancangan bandaraya berdaya tahan  dan ianya perlu dilaksanakan bagi memastikan Bandaraya Petaling Jaya boleh bertahan dengan cabaran-cabaran akan datang.

“Aspek-aspek utama yang akan diberi tumpuan meliputi kesihatan dan kesejahteraan awam, infrastruktur dan ekosistem, ekonomi dan komuniti, kepimpinan dan strategi.

“Selain itu juga pada hari ini pengiktirafan kepada wanita-wanita Petaling Jaya turut diberikan kepada komuniti, media, pemimpin setempat, pegawai dan juga kepada rakan strategik yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan Caliph Buskers antara artis yang membuat persembahan.

Majlis terbabit turut menampilkan persembahan daripada Farhan Azizan dan kumpulan Caliph Buskers.

Terdahulu, Mohamad Azhan dan isterinya, Farah Hanini Abdul Rahman yang merupakan Penasihat Kelab Wanita IRIS MBPJ telah merasmikan Bilik Kelab Wanita berkenaan yang terletak di Sunken Plaza, Menara MBPJ.

Sementara itu, Sambutan Hari Wanita Petaling Jaya itu turut diserikan dengan Program Santai Budaya Kota Seni yang berlangsung di Laman MBPJ dan Dataran Boulevard, Seksyen 52, Petaling Jaya.

Program itu menampilkan 15 aktiviti antaranya Tingkah Tari, Permainan Rakyat, Pelancaran Kelab Basikal & Kayuhan Santai, Zumba, Fun Games, Street Hockey, Food Truck & Gerai Makanan/Jualan, Perpustakaan Bergerak, Bola Jaring, Futsal dan Refleksologi, Rumah Seni Selangor, Busking dan Bean Scooter.

Kemuncak program ialah Tingkah Tari dan Persembahan Artis Jemputan yang menampilkan Azlan & The Typewriters yang berlangsung meriah dengan kehadiran ramai pengunjung pelbagai kaum.

 

Mohamad Azhan Md Amir (dua dari kiri).

Menurut Mohamad Azhan, wawasan untuk Kota Seni dibuat sejak tahun 2015 lagi oleh kerajaan negeri Selangor.

“Namun terhenti seketika apabila negara berdepan dengan Covid dan sebagainya. Kini kita berada dalam fasa Endemik dan kami aktifkan semula kota seni.

“MBPJ mahu mehidupkan PJ sebagai Kota Seni di mana pelbagai budaya seni berada di sini. Kita telah susun program untuk hujung tahun nanti dengan satu sambutan yang lebih besar dipanggil PJ International Folklore Festival dan sebagainya.

“Bermula 1 April allu, kita mulakan dengan program seni budaya. Kali ini lebih bertumpu kepada tarian. Tapi pada masa sama tampilkan permainan rakyat,” katanya.

Mohamad Azhan berkata, Santai Budaya dan Kota Seni akan menjadi satu trademark kepada masyarakat.

“Sebut PJ orang akan ingat Kota Seni. Sebut Kota Seni orang akan ingat PJ. Kami nak semarakkan seni budaya masyarakat Malaysia. Ia babitkan penyertaan artis popular, buskers dan semua ada.

“Seni itu luas jadi ada seni muzik, seni tari dan sebagainya. Kita tidak akan meminggirkan mana-mana pihak. Jadi dalam konteks ini, semualah dari seni tari, seni budaya, seni lakon, seni teater akan termasuk sama.

“Kami akan jadikan Boulevard Seksyen 52 depan pejabat MBPJ sebagai kawasan Kota Seni. Insya-Allah bulan Jun nanti sambutan Hari Bandaraya yang ke-16 untuk Petaling Jaya, kami akan adakan aktiviti-aktiviti yang menyokong Kota Seni,” katanya. – MalaysiaGazette

Azlan & The Typewriters membuat persembahan pada Program Santai Budaya Kota Seni.