Kereta Myvi berwarna merah dirampas oleh polis sebagai barang kes.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Nigeria bersama kekasihnya dan pekerja bengkel warga tempatan ditahan di Bandar Sungai Long semalam, dipercayai ada kaitan dengan kes meloloskan diri dengan sebuah kereta Myvi merah baru-baru ini.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan di sebuah bengkel kereta ketika mahu menukar tayar yang rosak akibat kesan tembakan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian pada 5 April lalu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sungai Long terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kereta Myvi yang hampir merempuh mereka ketika cuba mengelak daripada diperiksa.

Semasa kejadian, polis sedang menjalankan Ronda Cegah Jenayah apabila terserempak dengan kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila didekati anggota bermotosikal, suspek bertindak memecut laju dengan Myvi selepas diarahkan berhenti oleh anggota polis berkenaan dan berlaku kejar mengejar antara mereka dalam jarak dianggarkan sekitar tiga kilometer.

“Sepanjang kejar-mengejar itu suspek didapati telah beberapa kali cuba menghimpit anggota yang menaiki motosikal. Bagaimanapun setibanya di sebatang jalan mati suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak membuat pusingan U lalu cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis tersebut yang cuba menghalangnya.

“Terasa nyawa terancam dan sebagai langkah mempertahankan dirinya, anggota polis telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta berkenaan namun suspek berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemantauan dan bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan suspek seorang lelaki warga Nigeria dan kekasihnya, wanita tempatan, di Bandar Sungai Long semalam.

Kereta Myvi warna merah yang mempunyai kesan tembakan turut dirampas.

Polis masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette