Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada media selepas selesaimenghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ahli Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (KOPAMA) di Dewan Rakyat Sungai Mas, Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 MAC 2022.
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat di sebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan antilompat parti, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata perkara itu hasil daripada satu sesi libat urus berhubung cadangan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan antilompat parti yang diadakan antara PN dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 5 April lepas.

Sungguhpun begitu, Hamzah berkata bagi memastikan pindaan Perlembagaan tersebut dapat mencapai matlamatnya, definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa ‘lompat’ dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan kerajaan kelak.

Menurut Hamzah pada 6 April lepas, Jemaah Menteri bersetuju Perkara 10(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu bagi memberikan ruang kepada Ahli Dewan Rakyat menggubal akta khusus berkaitan antilompat parti dengan lebih teratur, terperinci dan boleh diterima semua pihak.

“Perikatan Nasional mengambil maklum kesediaan pihak kerajaan untuk membentangkan usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dalam sidang khas yang akan berlangsung pada 11 April 2022. Keputusan itu adalah satu keputusan kerajaan yang berhemah dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan memaklumkan gabungan itu akan menyokong Pindaan Perlembagaan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin ini selain memaklumkan syarat utama ialah draf Rang Undang-undang Anti Lompat Parti perlu disegerakan.

Media sebelum ini melaporkan Wan Junaidi berkata Rang Undang-Undang itu tidak akan dibentang pada Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini.

Bagaimanapun Wan Junaidi dalam kenyataan bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata sidang khas itu diteruskan untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan, pada satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak. – BERNAMA

1 Komen

  1. PERLEMBAGAAN LOMPAT PARTI MESTI DISERTAKAN DENGAN ANTI RASUAH….BERMAKNA MP2 SERTA ADUN TERLIBAT RASUAHHHH AKAN GUGUR DENGAN SERTA MERTA

Comments are closed.