Foto: FB Aleksandar Vucic

BELGRADE – Pengawal trafik udara Rusia menjejaki sebuah jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berada pada laluan yang sama dengan sebuah pesawat Air Serbia dalam di ruang udara Rusia, berhampiran sempadan Latvia pada Rabu lalu.

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic yang menerima dakwaan Rusia itu berkata, negaranya akan meminta maklumat tambahan daripada Rusia dan NATO.

Beliau berkata, Serbia mahu melihat “siapa yang berpura-pura menjadi pandai dengan ‘jetĀ  pejuang’ mereka membahayakan penerbangan awam dan orang awam dalam pesawat”.

Serbia mempunyai koordinat di mana pesawat itu muncul dan jet pejuang tentera ‘menyerupai Phantom 15 atau sebuah Eurofighter berwarna kelabu’, katanya kepada Radio Television of Serbia (RTS).

Sebanyak enam negara menggunakan jet Eurofighter termasuk Britain, Itali, Austria dan Sepanyol.

“Pesawat NATO (terbang) hanya satu kilometer di bawah (pesawat penumpang Air Serbia) di zon udara Rusia,” katanya seperti dipetik Balkan Insight.

“Saya beritahu anda (orang ramai) ini supaya anda boleh memahami tekanan yang kami hadapi kerana Serbia hanya negara (di Eropah) dan (masih) mempunyai penerbangan ke Moscow dan (St Petersburg) sama seperti dahulu,” tambah beliau.

Serbia merupakan salah sebuah negara Eropah yang tidak menamatkan perkhidmatan udara ke Rusia atau menutup ruang udara kepada pesawat negara itu sebagai sebahagian daripada sekatan yang dikenakan berikutan peperangan Rusia-Ukraine.

Walaupun Serbia mengutuk pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu namun ia merupakan salah satu sekutu utama Rusia dan enggan mengenakan sekatan. – Agensi