Halinordina (kiri) menyerahkan surat akreditasi sementara dua program diploma kebombaan kepada Muhammad Azmi (kanan) sambil disaksikan Mohammad Hamdan (dua dari kanan) dan Md Ali.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha menyemarakkan lagi agenda pengajian sepanjang hayat (PSH), Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah menawarkan dua program diploma kebombaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kedua-dua program itu telah mendapat perakuan Akreditasi Sementara setelah melalui penilaian MQA dan memenuhi standard dan kriteria jaminan kualiti ditetapkan.

Katanya, buat masa ini, penawaran itu hanya dibuat untuk lantikan dalam perkhidmatan sahaja, bagaimanapun difahamkan selepas mendapat akreditasi penuh, akademi berkenaan merancang untuk menawarkannya kepada pegawai bomba dari luar negara.

“Usaha ini akan membantu menjayakan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global pada masa akan datang.

“Penawaran program kebombaan di peringkat antarabangsa akan mampu membantu jadikan negara ini sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pengajian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Ts Mohammad Hamdan Wahid di Akademi Bomba Kuala Kubu Bahru, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Halinordina Mat Saat menyampaikan surat Akreditasi Sementara untuk dua program kebombaan iaitu Diploma Lanjutan Sains Kebombaan dan Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan kepada Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Bomba Wilayah Tengah, Muhammad Azmi Ismail.

Penyerahan itu turut disaksikan Mohammad Hamdan bersama Pengarah Bahagian Latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Bomba Wilayah Tengah, Md Ali Ismail.

Mengulas lanjut, Mohammd Shatar berkata, dua program terbabit merupakan program latihan bagi Pegawai Penolong Penguasa Bomba Gred KB 29 dan KB 41.

“Idea untuk mendapatkan Perakuan Akreditasi Sementara bagi kedua-dua program ini merupakan aspirasi Datuk Seri Ts Muhammad Hamdan sendiri dalam usaha untuk memantapkan lagi mutu dan perkhidmatan bomba,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast