Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bayi berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah di Bukit Gasing, Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang juga bapa kepada mangsa itu telah memberikan susu kepada bayi lelaki tersebut pada 2 petang semalam sebelum meninggalkan mangsa seorang diri untuk keluar bekerja.

“Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kembali ke rumah kira-kira dua jam kemudian dan mendapati anaknya tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata mangsa kemudiannya dihantar oleh bapanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada kira-kira 4.20 petang namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian mangsa.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (A) Akta Kanan-Kanak 2001 dan lelaki berkenaan ditahan reman empat hari sehingga 13 April ini.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast