Wan Junaidi Tuanku Jaafar LKAN Auditor-General's Report punitive
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Seramai 11 ahli Parlimen dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat bagi meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 untuk menghalang wakil rakyat melompat parti.

Jawatankuasa khas tersebut dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan diberikan tempoh 30 hari untuk membuatkan syor.

Jawatankuasa berkenaan akan meneliti dan memberi pengkhususan ke atas tafsiran kepada larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan merujuk kepada Fasal 2(C) dan Fasal (3) sekatan ke atas hak membentuk persatuan yang diberikan oleh Perenggan C Fasal 1.

Mereka juga diminta memberikan cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu.

Jawatankuasa itu juga perlu menyediakan satu penyata yang yang mengandungi cadangan rang undang-undang berkaitan dengan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta pindaan Perlembagaan.

“Bagi tujuan tersebut di atas Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak, ahli-ahli Parlimen, pakar-pakar perundangan dan perlembagaan dan badan-badan berkepentingan iaitu NGO, masyarakat madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangan  Jawatankuasa Pilihan Khas dari semasa ke semasa.

“Jawatankuasa ini berhak untuk menentukan penjadualan persidangan mereka sendiri. sama ada diadakan di parlimen atau pun mana-mana tempat lain yang bersesuaian,” kata wan Junaidi.

Sepuluh jawatankuasa yang lain adalah Ahli Parlimen Penggerang (BN) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Padang Rengas (BN) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ahli Parlimen Larut (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Kota Bahru (Pas) Takiyuddin Hasan.

Turut dilantik Ahli Parlimen Sibuti (GPS) Lukanisman Awang Sauni, Ahli Parlimen Puchong (DAP) Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Sepang Datuk (Amanah) Mohamed Hanipah Maidin, Ahli Parlimen Tuaran (UPKO) Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR) dan Ahli Parlimen Penampang (Warisan) Datuk Ignatius Darell Leiking.

Seramai 59 orang ahli Dewan Rakyat telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang yang berlangsung dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 5.45 petang tadi. -MalaysiaGazette