Foto Facebook Sri Pahang FC.

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu pengadil ketika berdepan Kedah Darul Aman FC, kemenangan Sri Pahang FC terus ‘dirompak’ oleh pengadil apabila gol penyamaan PJ City FC dibenarkan untuk keputusan terikat 1-1.

Ia berpunca rembatan voli jarak jauh pemain gantian pelawat, R. Barathkumar yang berjaya menewaskan penjaga gol Mamadou Samassa pada minit ke-86, hanya ketika aksi berbaki empat minit lagi.

Gol itu dilihat cuba dibantah terlebih dahulu oleh PJ City apabila ia tidak diiktiraf namun selepas perbincangan antara pengadil perlawanan dan penjaga garisan, ia dibenarkan semula.

Jika dilihat semula rakaman video, keputusan awal penjaga garisan adalah tepat kerana ketika bola menghampiri gawang tuan rumah, terdapat seorang pemain PJ City iaitu Khyril Muhymeen sedang berada di depan penjaga gol dan tampak seakan-akan ada pergerakan yang dibuatnya sebelum bola menewaskan Samassa.

Pahang sebelum iti memperoleh jaringan pendahuluan pada minit ke-38 hasil gerakan dan rembatan cantik Manuel Hidalgo dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz.

Sebelum ini, ketika berdepan Kedah, gol Pahang dan kali ini gol lawan pula dibenarkan.

Aksi berdepan Kedah telah pun mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang pantas menjelaskan terdapat kesalahan dalam pengadilan perlawanan itu.

Pengadil untuk aksi tersebut, Mohd Hasrol Mohd Amir membatalkan dua gol oleh pasukan pelawat.

Dalam tindakan pantas, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil yang melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video mendapati wujud kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast