Datuk Mahfuz Omar. Sheraton Move party hopping anti-party hopping dewan rakyat parliament
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Langkah Sheraton yang menyaksikan pertukaran kerajaan dari Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional  (PN) telah menjadikan Parlimen seperti sarang pelacuran politik.

Dakwaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz ketika berbahas dalam  Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022.

“Hari ini seperti semua ahli Parlimen termasuk pelompat-pelompat bersetuju bahawa Langkah Sheraton langkah tidak bermaruah dan akhirnya menjadikan Parlimen seperti sarang pelacuran kepada politik dalam negara kita ini

“Sebab bagi saya Langkah Shareton adalah langkah yang bermula dengan scheme of thing tawaran jawatan dan pelbagai lagi,” katanya di Dewan Rakyat.

Mahfuz bagaimanapun bersetuju sidang khas hari merupakan satu sejarah baharu bagi Malaysia.

Ini kerana kerajaan dan pembangkang  bersetuju untuk menolak perbuatan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat yang disifatkan sebagai satu jenayah politik.

“Hari ini kita sepakat bahawa perbuatan ini harus ditolak dan dibenci untuk memastikan tidak berlaku lagi perbuatan jangan melompat, jangan rampas kuasa kerajaan mandat rakyat, jangan tawar dan beli ahli politik.

“Dan ahli-ahli politik tidak seharusnya menyerahkan diri untuk menjadi pelacur-pelacur politik di dalam negara kita ini. Apa yang lebih penting kita perlu sebuah undang-undang yang jelas, satu akta baru memastikan keadaan ini tidak terus berlaku,“ katanya.

Mahfuz juga mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti sama ada parti yang bergabung boleh keluar untuk membentuk gabungan lain boleh dianggap sebagai lompat parti.

“Perlu dilihat bagaimana isu mengatasi parti gabungan itu keluar daripada gabungan tersebut, sedangkan dia bertandingan atas nama gabungan dan bertanding atas nama gabungan tersebut, pada satu ketika dia melompat membentuk gabungan baru. Ini juga harus dilihat sebagai khianat kepada mandat rakyat.

“Inilah yang saya harapkan supaya satu kesedaran baharu, budaya politik baharu untuk kita mengelak daripada menjadi pelacur politik,” tegasnya.

Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 bermula hari ini bagi membolehkan RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Antilompat Parti dibentang, dibahas dan diluluskan.- MalaysiaGazette