Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), negara berhadapan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dan bilangan ahli Parlimen yang melompat parti telah mencecah sehingga 39 orang.

Ini kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar satu isyarat yang jelas menunjukkan amalan demokrasi negara kini tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan.

Umumnya, menurut beliau, tindakan ahli Dewan Rakyat kemudiannya bertukar parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap mereka yang dipilih melalui pilihan raya.

“Sikap dan tindakan bertukar parti oleh mereka secara langsung membuatkan rakyat menilai kesetiaannya terhadap parti yang diwakili dan pada masa sama memberi kesan terhadap amalan demokrasi negara.

“Justeru, usaha menambahbaik sistem pentadbiran negara melalui pelbagai inisiatif transformasi pentadbiran secara kerjasama dwi-partisan kerajaan dan PH telah diterjemahkan melalui memorandum persefahaman politik pada 13 September 2021.

“Antaranya termasuk Perkara 2.1 mengenai keperluan membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen,” katanya kata sesi mengemukakan usul bagi membolehkan RUU Anti Lompat Parti digubal di Parlimen hari ini.

Wan Junaidi berkata, bagi menjayakan komitmen yang telah ditetapkan, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara telah mengadakan sesi libat urus yang komprehensif dan menyeluruh bersama pihak berkepentingan pada November 2021 hingga 7 April lalu.

Sebanyak 12 sesi libat urus telah diadakan sepanjang tempoh tersebut yang antara lain menyentuh soal kaji selidik awam berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan seramai 7,571 responden iaitu 7,461 orang awam dan 110 ahli Parlimen.

Menurutnya, Rang Undang-undang (RUU) dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bertujuan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Fasal 3A.

Wan Junaidi berkata, pindaan itu turut memberi punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti digubal dan diluluskan di Parlimen.

Menurut beliau, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah diadakan hari ini dan tiga perkara dipersetujui.

Tiga perkara itu ialah pertamanya mengkhususkan berhubung dengan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Kedua, cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu dan ketiga menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Perkara ini akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan dilantik oleh dewan ini,” katanya lagi.

Menurut Dr. Wan Junaidi, sistem pentadbiran negara yang teratur, efisien dan efektif sentiasa menjadi fokus utama kerajaan yang memerintah.

Dalam hal itu, kesepakatan bersama kerajaan dan pembangkang penting bagi mengembalikan kestabilan politik negara dalam keadaan semasa penularan wabak Covid-19 dan dalam masa memulihkan ekonomi negara serta sosial rakyat pasca pandemik.

“Komitmen ini menjadi keutamaan kerajaan mengambil kira senario politik negara kebelakangan ini melibatkan ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau dalam bahasa mudahnya lompat parti.

“Istilah lain yang sering digunakan di negara luar berkaitan perkara ini, misalnya seperti defection, party jumping atau floor crossing yang mana boleh diterjemahkan sebagai pembelotan parti dan bertukar kesetiaan kepada parti.

“Keadaan ini menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil di Dewan Rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette