Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sebuah projek politik yang gagal.

Ia tidak akan membawa bangsa Melayu ke mana-mana untuk selama-lamanya, dakwanya.

Malah beliau merasakan rakyat menjadi bingung dengan ‘moral’ yang cuba dibawakan oleh parti itu.

Ini kerana dakwanya, apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibincangkan oleh Jemaah Menteri, kedengaran menteri darti parti tersebut adalah yang paling lantang mengkritik cadangan kerajaan, kononnya demi sebuah ketelitian dan penambahbaikan.

“Tetapi semua orang tahu bahawa cerita sebenar ialah kerana mereka rasa terpukul dengan RUU tersebut. Merekalah punca utama keperluan RUU tersebut diusulkan untuk dijadikan undang-undang.

“Daripada 39 Ahli Parlimen yang melompat, 26 telah menyertai Bersatu, dilantik menjadi menteri dan mengurus negara ini.

“Maka demikianlah murninya cita-cita penubuhan Bersatu…yang ditawarkan kepada orang Melayu bukannya nilai dan politik moral yang lebih bermutu dan baik, tetapi pemimpin yang khianat pada mandat pemilih dan parti mereka, diangkat memimpin negara dan bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Khaled lagi, hingga saat ini, tidak terlihat kelainan yang ditawarkan oleh Bersatu ekoran tiadanya ideologi yang tuntas.

Ujarnya, tiada juga rencana luar biasa untuk bangsa dan negara serta tiada kepimpinan yang mempersonakan baik dari segi ketokohan, idea mahupun ciri yang meyakinkan.

“Perhatikan juga lapisan kedua pemimpin Bersatu. Adakah orang Melayu akan merasa yakin dengan kualiti, pemikiran dan ‘conviction’ mereka?

“Lihat sahaja bagaimana mereka menguruskan kementerian mereka, menyantuni rakyat dan pelbagai dasar yang mereka perkenalkan. Semuanya menjurus kepada ‘a serious neglect of duty dan failed leadership’ (pengabaian serius terhadap tugas dan kepimpinan yang gagal),” katanya.

Tambahnya, mengungkap idea besar dan cita-cita besar itu sangat mudah namun, akhirnya ideals dengan kerja nyata itu adalah sangat sukar untuk diterjemahkan.

“Sebab utama kenapa ia gagal adalah kerana Presiden Bersatu tidak mempunyai ‘conviction’ pada apa yang beliau war-warkan.

“Akhirnya, secara nyata, beliau hanya ingin kuasa, bukan kesanggupan untuk perjuangan yang panjang dan suci untuk orang Melayu dan tanahair,” katanya. – MalaysiaGazette