Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan . Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2022.

SEPANG – Polis dengan kerjasama Aseanapol akan mempertingkatkan risikan bagi mengesan dan menjejaki sindiket penipuan scam dan dalam talian yang menipu 16 rakyat Malaysia di Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima sebanyak 35 laporan membabitkan 45 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat sindiket penipuan.

“Namun melalui kerjasama polis Kemboja, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Kemboja melalui Aseanapol kita berjaya menangani masalah ini secara efektif.

“Hasil kerjasama itu, kali ini kita telah berjaya mengesan 16 orang rakyat kita yang terperangkap dengan sindiket perjudian dan scammer di Kemboja dan sudah berjaya membawa balik 12 orang melalui proses kerjasama erat,” katanya di hadapan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini.

Beliau ditemani Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin.

Tambah Abd Jalil, beliau menasihatkan kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tambahan diminta tampil segera melaporkannya.

“Sila tampil dan laporkan kepada PDRM dengan kadar segera jika mana-mana waris anda terkesan terperangkap dalam situasi penipuan membabitkan sindiket sebegini di luar negara supaya polis dengan Wisma Putra dapat membantu membawa pulang mereka.

“Justeru, setakat ini kita mengesan rakyat kita yang terperangkap di Myanmar, Thailand dan Laos selain kita juga tahu dan yakin ada lagi mangsa-mangsa yang waris mereka belum membuat laporan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kerjasama ibu bapa penting kerana ia akan memudahkan kami untuk mengesan dimana kedudukan waris-waris mereka sebelum tindakan menyelamatkan mereka dapat diusahakan.

“Buat masa ini kita akan mengambil keterangan daripada kesemua 12 orang ini untuk tindakan lanjut sementara kita sudah mempertingkatkan risikan dengan kerjasama Aseanapol untuk menjejaki sindiket tetapi masih belum ada tangkapan suspek dalam perkara ini,” katanya.

Tambah beliau, kesemua yang diselamatkan akan dibenarkan pulang sejurus selepas selesai proses rakam keterangan tanpa sebarang halangan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

12 rakyat Malaysia ditipu scammer Kemboja selamat pulang