Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) ingin menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebuah laman sesawang penjualan saham palsu dan tidak akan menggunakan kaedah atau platform pelaburan sedemikian untuk mendapatkan pelaburan orang ramai dalam saham BIMB.

Dalam satu kenyataan hari ini, BIMB berkata ia mengambil maklum mengenai kewujudan laman sesawang penjualan saham palsu itu yang menggunakan logo seakan logo rasminya untuk menipu orang ramai melabur dalam saham BIMB.

“Para pelanggan dan orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan tidak terpedaya dengan mana-mana laman sesawang atau akaun sosial media palsu yang menggunakan logo dan maklumat korporat BIMB,” katanya.

Pelanggan juga dinasihati untuk merujuk dan menggunakan platform rasmi BIMB untuk sebarang urusan.

Orang ramai yang ingin membeli saham BIMB dinasihatkan agar berurusan dengan syarikat pembroker saham yang berlesen seperti yang disenaraikan di Bursa Malaysia sebagaimana pautan berikut di https://www.bursamalaysia.com/trade/trading_resources/brokers_for_equities/list_of_participating_organisations.

BIMB turut ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan melalui telefon atau “Macau Scam”, melibatkan pemanggil yang menyamar sebagai pihak berkuasa kawal selia.

“Orang ramai yang menerima panggilan meragukan seperti itu dinasihatkan supaya tidak mengikut arahan orang yang tidak dikenali untuk melakukan sebarang transaksi perbankan, putuskan panggilan tersebut serta-merta dan segera hubungi Pusat Respon Penipuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK/CCID Scam Response Centre) Polis Diraja Malaysia di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 untuk bantuan lanjut.

“Kami mengingatkan para pelanggan dan orang ramai agar tidak sesekali memberi butiran maklumat diri serta nama pengenalan (ID), nombor akaun, nombor kad kredit/debit, kata laluan/PIN, kod i-Akses (IAC) kepada mana-mana pihak,” katanya.- BERNAMA