Fauzi Ishak

JOHOR BAHRU – Seperti Ramadan tahun-tahun sebelum ini, Kelab Media Johor (KMJ) menganjurkan acara tahunannya, iaitu Singgah Sahur Kelab Media Johor untuk mengagihkan juadah bersahur kepada petugas-petugas barisan hadapan.

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program yang bermula sejak 2015 bertujuan memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan dan pasukan perubatan yang bertugas, secara tidak langsung mengeratkan hubungan petugas-petugas barisan hadapan dengan media.

“Objektif kita,kita menghargai kerana media ini bukan sekadar sampaikan maklumat kita juga sampaikan kerja CSR.

“Kita amat menghargai fronliners yang bertugas ketika Ramadan, selalunya kita jumpa di lapangan pada waktu siang sebagai rakan sekerja jadi bila ada program sebegini ia akan mengeratkan lagi media dan badan-badan uniform,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Singgah Sahur Kelab Media Johor tahun ke-8 di Johor Bahru.

Singgah Sahur kali ini turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerjaaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, yang sama-sama turun padang menyokong usaha KMJ menyantuni petugas-petugas barisan hadapan.

Empat lokasi dikunjungi KMJ semasa program tersebut iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Sekatan Jalan Raya Pantai Lido, Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri serta Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sungai Pulai.

Sebanyak 400 pek makanan disediakan untuk semua petugas, termasuk ahli-ahli KMJ yang menyertai Program Singgah Sahur kali ini.

KMJ turut mendapat kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bersama-sama mengiringi rombongan Singgah Sahur ini.

Majlis diakhiri dengan bersahur bersama Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria di Jeti APMM Sungai Pulai.

Juga menarik perhatian apabila Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor, Datuk Yahaya Madis menunjukkan bakat memasak untuk dihidangkan kepada anggota dan pegawainya yang bertugas. – MalaysiaGazette