Pasukan bomba berusaha mengeluarkan seorang peniaga yang tersepit dan disahkan maut selepas kereta dipandunya terbabas ke cerun bukit di Lebuh AMJ di Rembia, Alor Gajah, Melaka awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang peniaga maut selepas kereta dipandunya terbabas ke cerun bukit di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Jasin (AMJ) di Rembia, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, laporan yang diterima pada jam 1.15 pagi itu, mangsa Hoe Teng Yong, 57, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di badan.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa ketika itu datang dari arah Malim Permai menuju ke rumahnya di Taman Rembia Setia.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Saga Aeroback dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke cerun bukit di sebelah kiri jalan.

“Terdapat kesan tayar dan geseran ditemui pada permukaan jalan dua lorong yang berselekoh dan menurun bukit itu, namun tiada saksi melihat kejadian itu,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Nazri Mat Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan itu pada jam 1.01 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi didapati kereta Proton Saga Aeroback terbabas dan terdapat seorang mangsa lelaki tersepit. Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.