KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam mendesak kerajaan membentangkan segera Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat sebagai salah satu usaha untuk mengembalikan kestabilan negara.

Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, akta baharu itu dapat mengekang ahli-ahli Parlimen tidak bertanggungjawab daripada menukar parti politik hingga menjejaskan kestabilan parti pemerintah.

“Sebagai rakyat yang prihatin dengan keadaan politik negara perlu memberi tekanan kepada pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Ia untuk memastikan RUU Anti-Lompat Parti ini dapat dilaksanakan walaupun terdapat keperluan untuk meminda Perkara 10 dan Perkara 48 Perlembagaan Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sejak pasca Pilihan Raya Ukkm ke-14 (PRU14) ramai ahli Parlimen tidak bertanggungjawab telah melompat parti sehingga menyebabkan ketidakstabilan negara.

“Hal ini hanya akan dapat dielakkan di masa hadapan apabila wujudnya satu akta yang mengekang pertukaran parti oleh seseorang ahli Parlimen dari satu parti ke parti yang lain.

“Kerosakan yang telah dibuat oleh ahli Parlimen yang melompat parti selepas PRU14 lepas, telah mewujudkan kepincangan yang merugikan rakyat Malaysia dan seterusnya memalukan negara kita,” katanya.

Katanya lagi, pembentukan rang undang-undang ini dilihat sebagai satu pelindung kepada sistem demokrasi berperlembagaan negara yang melangkaui hal-hal berkaitan dengan kebebasan dan hak asasi.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk menjunjung mandat yang telah diberikan kepada mereka untuk mewakili para pengundi.

“Sekiranya mereka gagal menjaga dan memelihara mandat ini, sewajarnya kerusi yang disandang mereka dilucutkan dan pilihan raya baharu diadakan bagi memastikan suara para pengundi dapat terus dimartabatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast