Saddil Ramdani. Foto Facebook Sabah FC.

KUALA LUMPUR – Sabah FC menafikan dakwaan bahawa pasukan itu enggan melepaskan pemain importnya, Saddil Ramdani menyertai pasukan kebangsaan Indonesia dalam saingan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, Sabah kecewa dengan laporan yang memetik Saddil mendakwa pihak pengurusan pasukan itu enggan melepaskannya untuk pasukan kebangsaan Indonesia, di mana alasan itu dianggap ‘tidak munasabah’.

“Untuk rekod, Sabah FC bersetuju untuk melepaskan Saddil untuk tugasan pasukan kebangsaan semasa jendela FIFA seterusnya bermula 30 Mei hingga 14 Jun 2022.

“Ini adalah perkara yang sudah dibincangkan dengan panjang lebar antara kelab dan Saddil, di mana pemain itu memahami alasan kelab untuk tidak melepaskannya di luar jendela FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa)

“Keputusan Sabah FC adalah muktamad kerana khidmat Saddil diperlukan untuk perlawanan Liga Super dan Piala FA yang bertembung dengan jadual Sukan SEA.

“Berdasarkan laporan terkini, difahamkan Saddil bukan sahaja satu-satunya pemain berpangkalan di luar Indonesia yang tidak dilepaskan untuk Sukan Sea,” kata kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, Saddil turut menghormati dan memahami keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan Sabah FC.

“Saya akan terus memberikan yang terbaik untuk The Rhinos untuk kedua-dua Liga Super dan Piala FA sambil kami fokus pada sasaran utama kami untuk musim ini.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dan Indonesia pada Sukan SEA di Hanoi,” ujarnya. – MalaysiaGazette