Sebuah rumah hangus selepas kebakaran hutan merebak melalui Kampung Ruidoso, New Mexico. Foto AP

RUIDOSO – Sekurang-kurangnya 150 bangunan di perkampungan New Mexico hangus akibat kebakaran hutan yang melanda kawasan itu hingga menyebabkan beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan di dua buah sekolah.

Rumah antara banyak yang terbakar tetapi pihak berkuasa tidak dapat mengira berapa banyak yang musnah dalam kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya 6.4 batu persegi (16.6 kilometer persegi) hutan, semak dan lalang di sebelah timur komuniti Ruidoso, kata Laura Rabon, jurucakap Hutan Negara Lincoln.

Serentak itu, Rabon mengarahkan pemindahan kecemasan di kawasan yang lebih padat penduduk semasa taklimat petang Rabu ketika api terus merebak ke jalan raya.

Beliau mahu penduduk segera meninggalkan kawasan masing-masing.

Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan akibat kebakaran yang berpunca daripada tiupan angin kencang.

Sementara punca kebakaran sedang disiasat, pegawai bomba dan jabatan cuaca memberi amaran pada hari Rabu bahawa keadaan kering dan berangin yang berterusan telah menyebabkan amaran bendera merah untuk kawasan luas yang merangkumi hampir semua New Mexico, separuh Texas dan sebahagian Colorado dan Midwest.

Lima kebakaran besar baharu dilaporkan pada hari Selasa dan hampir 1,600 anggota bomba dan kakitangan sokongan ditugaskan untuk kebakaran besar di kawasan barat daya, selatan dan Gunung Rocky, menurut Pusat Bomba Antara Agensi Kebangsaan. – AP (https://apnews.com/article/wildfires-new-mexico-ruidoso-fires-evacuations-aa89745adf857fdac1b0372c152c86ff)