Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 14 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana pihak-pihak berminat bagi mengelakkan pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu akan diteruskan selepas sambutan Aidilfitri kelak.

“Bulan puasa ini perlahan sikit. Mungkin selepas raya dengan keadaan mengizinkan kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di sini hari ini.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ini menyerahkan kepada Muhyiddin untuk membincangkan  strategi parti bagi menghadapi PRU bersama parti-parti politik lain

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat parti yang diadakan semalam.

“MPT Bersatu memutuskan untuk memberikan mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan oleh YB Tan Sri Presiden untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bersama parti-parti politik lain,” katanya dalam satu kenyataan rasmi parti itu, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin ada membuat perjumpaan empat mata bersama-sama dengan pemimpin politik lain antaranya pengerusi parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette