Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas turut menyambut baik keputusan UMNO untuk mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya parti itu menang lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut beliau, sebagaimana ketika ini, Pas mendokong dan menyokong penuh kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Ogos lalu.

“Pas mengharapkan agenda perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti telah berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,” katanya.

Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi rata-rata mahu Perdana Menteri kesembilan itu meneruskan tampuk pemerintahan selepas PRU15 sekiranya Barisan Nasional (BN) menang.

“MKT UMNO sebulat suara mencadangkan agar Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15 akan datang,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut Takiyuddin, Pas juga yakin MoU politik antara kerajaan dengan pembangkang yang terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-14 akan terus membantu proses pemulihan negara dalam semua aspek termasuk kesihatan, ekonomi, sosial dan hidup serta kehidupan rakyat. – MalaysiaGazette