Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bergambar kenangan dengan mahasiswa sambil menunjukkan edompet pada Majlis Pelancaran e-Pemula di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2022.

CYBERJAYA – Peruntukan sebanyak RM300 juta bagi Program ePemula diharap akan menggalakkan pengguna untuk menyokong komuniti perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang amat terkesan akibat pandemik.

Program ePemula menekankan penggunaan e-Dompet atau e-tunai untuk pembelian secara fizikal.

Sebanyak empat e-Dompet yang mengambil bahagian melalui Program ePemula iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet ini boleh digunakan melalui jaringan peniagaan runcit yang melebihi 1.2 juta touchpoints.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pada akhir tahun lalu, Malaysia telah mencatatkan peningkatan hampir 60 peratus bagi pendaftaran peniaga untuk perkhidmatan e-tunai kod QR DuitNow kepada 1.1 juta touchpoints atau pusat pembayaran fizikal.

Peningkatan jumlah transaksi tanpa tunai sebanyak 74.4 peratus berbanding tahun 2020 kepada 1.1 billion pada tahun 2021 jelas menggambarkan bahawa peniaga dan pengguna semakin selesa menggunakan fasiliti tanpa tunai di kedai-kedai.

Sehubungan itu, menurut beliau, melalui Program ePemula, kerajaan berharap agar momentum e-tunai ini kekal, terutamanya bagi meneruskan usaha kerajaan dalam memacu penggunaan perkhidmatan kewangan digital.

Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meluangkan masa melihat ruang jualan pada Majlis Pelancaran e-Pemula di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2022.

“Pelaksanaan e-tunai bukan sahaja memudahkan pengguna, tetapi juga mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran ePemula yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa.

Jelasnya, dengan empat e-Dompet yang mengambil bahagian ini, ia akan memastikan pelaksanaan ePemula secara menyeluruh di seluruh negara, termasuk di bandar-bandar kecil, lantas memanfaatkan lebih ramai belia dan pelajar.

Selain itu, jaringan yang lebih luas ini membudayakan satu sistem pembayaran tanpa tunai yang lebih mudah, telus dan selamat.

Dalam ucapannya itu, Tengku Zafrul berkata, pandemik Covid-19 telah mempercepatkan peralihan dan penggunaan aplikasi digital bagi mempermudahkan pelbagai urusan.

Katanya, salah satu aplikasi digital yang menjadi kebiasaan termasuklah pembayaran secara digital.

“Dan kini, dengan pembukaan kesemua sektor ekonomi dan sosial, penggunaan e-Dompet juga semakin meningkat,” tambahnya. – MalaysiaGazette