parlimen
Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Gara-gara memfitnah, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis merangkap Ketua AMK Cabang Padang Besar, Amar Abd Jalil memohon maaf kepada Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Menerusi kenyataan, Amar mengakui telah mengeluarkan dua kenyataan tidak benar di laman Facebook AMK Cabang Padang Besar yang diketuainya dan di laman Facebook peribadinya bernama Amar Abd Jalil pada 28 April 2021.

Kenyataan pertama mengumumkan hasrat AMK Cabang Padang Besar untuk membuat satu laporan polis terhadap Kamarul yang didakwa membuat satu hantaran Facebook menghina Raja Muda Perlis selain menjemput para pengamal media membuat liputan media ke atasnya.

Kenyataan kedua pula merupakan sidang media laporan polis terhadap Kamarul oleh AMK Cabang Padang Besar dalam mana Amar mendesak polis menyiasat Kamarul di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988.

Mengakui bahawa dua kenyataan tersebut adalah tidak benar, Amar telah menarik balik kesemua kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya di masa hadapan.

Beliau juga menarik balik laporan polis yang dibiat ke atas Kamarul di IPD Kangar pada 28 April 2021.

Selanjutnya, beliau menyebut beliau merasa amat kesal atas keterlanjuran menerbitkan dua kenyataan palsu tersebut dan dengan rendah diri tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Kamarul kerana telah menyebabkan beliau mengalami kecederaan yang serius sama ada dalam kapasiti peribadi atau profesional.

Beliau juga menegaskan Kamarul sebenarnya tidak pernah membuat apa-apa hantaran Facebook yang menghina Raja Muda Perlis, tidak pernah melakukan apa-apa jenayah yang menyebabkan ketegangan dan kebencian atau menyebabkan keharmonian dan perpaduan terjejas bersandarkan agama, tidak pernah melakukan jenayah fitnah serta tidak pernah menulis komen atau komunikasi yang palsu dan menyinggung perasaan orang ramai di internet.

Kamarul sebelum ini mendapat perhatian umum kerana telah menyaman fitnah beberapa pihak lain yang mendakwa beliau membuat satu hantaran di Facebook yang mempertikaikan foto Raja Muda Perlis dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berbasikal.

Antara mereka yang sedang disaman fitnah oleh beliau kerana membuat fitnah yang menyentuh kedudukan Raja Muda Perlis itu ialah Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, Ketua AMANAH Ledang, Johor, Azhar Ismail dan mantan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nur Liyana Ahmad Marzuki.

Turut disaman atas isu sama ialah mantan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Selain itu, beliau juga dikenali kerana menyaman lapan Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, dan Steven Sim, selain 2 Ahli Parlimen AMANAH, iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin atas beberapa isu yang berbangkit.

Media sebelum ini melaporkan Kamarul menerima banyak permohonan maaf daripada pemimpin politik yang beliau saman kerana memfitnah, termasuk lima pemimpin AMANAH, iaitu peguam Wan Anwar Wan Ibrahim, peguam Mohd Fitri Asmuni, Jamzuri Ardani, Ahmad Zhafri Md Noor dan Kamal Koh Abdullah. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.