Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diiringi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan kepada Mangsa Bencana Taman Bukit Permai dan Taman Bukit Permai 2 di Dewan MPAJ Cheras Baru, Ampang. Foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2022.

AMPANG – Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan mengulas mengenai kenyataan anaknya, Nurul Izzah Anwar berhubung Pakatan Harapan (PH) terpaksa kalah dua lagi pusingan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum dapat menguasai Putrajaya semula.

Malah beliau yang hadir dalam sidang media bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari bertindak menepis soalan wartawan berhubung isu berkenaan.

“…saya datang pasal (isu) cerun (audio kurang jelas),” katanya ringkas ketika hadir dalam majlis serahan sumbangan bantuan mangsa banjir di Taman Bukit Permai oleh Amiruddin di sini hari ini.

Wan Azizah yang hadir selaku Ahli Parlimen Pandan pada mulanya menggeleng apabila wartawan bertanyakan mengenai respon beliau mengenai kenyataan Nurul Izzah bahawa PH diramalkan tewas pada dua lagi pusingan PRU sebelum menguasai Putrajaya seperti pada 2018.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dalam temu bual bersama Sinar Harian berkata, PH mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.

“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU-15?

“Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum ini,” katanya.

Malah media turut melaporkan bahawa kenyataan terbuka Nurul Izzah bahawa PH mencerminkan ketidakyakinan beliau terhadap kepimpinan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai gabungan itu, kata penganalisis politik.

Memetik laporan FMT, penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Nurul Izzah sangat berhati-hati untuk tidak disalah tafsir sebagai sedang memprotes kepimpinan ayahnya apabila beliau menyokong kempen Ayuh Malaysia yang digerakkan Rafizi Ramli bagi menarik pengundi atas pagar. – MalaysiaGazette