Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

MASJID TANAH – Semua pemimpin UMNO seharusnya menunjukkan kesepakatan dan bukannya bersikap ‘mengocak air yang sedang tenang’ yang hanya akan merosakkan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sebagai pemimpin dan ahli mereka seharusnya menerima setiap keputusan yang dibuat pihak tertinggi parti.

Perkara itu, jelasnya termasuklah keputusan menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

“Kita mesti menunjukkan kesepakatan kita, jangan dikocakkan air yang sedang tenang, tak perlu minta itu dan ini, kita fokus kepada keputusan yang telah dibuat parti.

“Jangan kita rosakkan kekuatan parti dengan meminta perkara yang kadang-kadang telah dikorbankan oleh kepimpinan (termasuklah) beri ruang kepada PM (perdana menteri) untuk beliau terus sebagai PM (selepas PRU15),” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini malam tadi.

Khamis lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang PRU15.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, setiap individu di dalam parti terbesar yang mempunyai 3.39 juta ahli itu mempunyai peranan masing-masing untuk memastikan UMNO kembali menawan Putrajaya.

“Urusan parti, biar parti buat, kita ada hierarki parti yang akan uruskan bagaimana nak menjalankan urusan-urusan pilihan raya maka kita terima seadanya peranan yang boleh dimainkan semua orang.

“Jentera parti, presiden parti sehinggalah peringkat akar umbi mempunyai peranan yang boleh dilakukan untuk menang PRU15,” katanya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. umNO pun TEMBERANG…..PRN JOHOR kami kekalkan HASNI sebagai MB DAN POSTER BOY

    Akhirnya JADI MUNAFIK tidak TUNAI JANJI….bagi alasan kehendak istana

Comments are closed.