KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan hanya sketsa politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, pemilihan dan perebutan jawatan dalam parti itu sekadar untuk menafikan PKR sebuah parti berasaskan kroni dan keluarga presidennya sahaja.
“Di atas kertas sememangnya pemilihan PKR pada kali ini mendapat sambutan apabila ramai pemimpin mencalonkan diri untuk bertanding merebut jawatan dalam parti.
Namun realitinya, ini adalah sketsa politik Anwar untuk menunjukkan PKR ini mempunyai nilai crowd dan paling penting hendak tunjukkan PKR memperjuangkan demokrasi bukannya parti kroni & keluarga Anwar Ibrahim”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambah beliau, pemilihan PKR kali ini yang menyaksikan beberapa artis mencalonkan diri untuk bertanding turut dilihat sekadar hiburan.
“Perkara ini tidak pelik kerana PKR sendiri merupakan parti yang paling ‘menghiburkan’ kerana banyak drama dapat disaksikan sejak parti itu ditubuhkan.
”Drama sedih dan air mata merupakan cara PKR untuk mengemis undi daripada rakyat sejak sekian lama,” ujarnya.
Malah, katanya, penyertaan artis, pelakon dan pengarah dalam PKR akan menyaksikan lebih banyak lagi skrip dan drama baharu yang akan disajikan dalam senario politik negara.
“Kita perlu ingat dan jangan sesekali lupa akan sandiwara yang telah dihidangkan kepada rakyat Malaysia sebelum ini tetapi PKR juga harus tahu rakyat Malaysia cerdik dan tidak akan terpengaruh lagi dengan wayang politik arahan Anwar,” tambahnya. – MalaysiaGazette