Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan membabitkan aktivis kontroversi Fahmi Reza yang melukis dan memuat naik imej beruk yang berseragam istana berwarna kuning dalam media sosial awal minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ akan mengambil masa secukupnya untuk melengkapkan siasatan tersebut sebelum merujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Masih dalam proes melengkapkan siasatan (imej lukisan beruk oleh Fahmi Reza),” katanya secara ringkas kepada MalaysiaGazette tadi.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lukisan beruk: Fahmi dakwa akan disoal siasat petang ini

Fahmi Reza ditahan

Beliau yang ditanya mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk mengemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berkata, pasukan penyiasat akan mengkaji secara mendalam kes berkenaan secukupnya.

“Tunggu untuk kita kaji dulu,” jelasnya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai siasatan yang masih berjalan itu.

Pada 14 April lalu, Abd Jalil mengesahkan mengenai penahanan Fahmi Reza oleh polis selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang wangi sebelum direman pada Jumaat lalu untuk membantu siasatan lanjut polis.

Dia kemudian telah dibebaskan dengan jaminan polis sejurus selepas selesai proses merakam keterangan oleh polis difahamkan dari bahagian USJT D5 Bukit Aman.

Dalam kenyataan susulan selepas itu, beliau juga mengesahkan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.- MalaysiaGazette