SEJAK pelancarannya pada tahun 2018, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) teguh memperjuangkan pemupukan budaya kecemerlangan yang berterusan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) dengan mengiktiraf sumbangan dan pencapaian saintis, ahli akademik serta individu dalam mempromosikan sains.

Pada tahun ini, selaras dengan gagasan konsep Keluarga Malaysia yang telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri, MSN turut menyokong konsep tersebut dengan penjenamaan semula kepada Minggu Sains Negara (MSN) Keluarga Malaysia 2022.

Pemilihan tema MSN Keluarga Malaysia 2022 adalah sejajar dengan hasrat kementerian untuk menjadikan sains sebagai suatu perkara yang lazim di kalangan rakyat serta menjadikan teknologi sebagai pemangkin ekonomi.

MSN Keluarga Malaysia 2022 merupakan platform MOSTI dalam mendokong usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai saintis dan penyelidik pada masa hadapan. Ia akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian dengan penganjuran lebih 110 aktiviti dan program menarik antaranya pertandingan, seminar, ceramah, kuiz, pameran maya, bengkel maya, pelantikan ikon STI, virtual explore race, pertandingan membuat video serta sesi meet and greet secara maya.

7 Bidang Fokus Utama

MSN Keluarga Malaysia 2022 kali ini mengetengahkan konsep yang berbeza di mana ia berteraskan kepada bidang fokus utama yang akan berubah pada setiap bulan bermula pada bulan April hingga Oktober 2022. Tujuh bidang telah disenarai pendek sebagai bidang fokus berdasarkan kesesuaian setelah mengambil kira sambutan hari-hari berkepentingan berkaitan STI. Setiap bidang fokus akan menerapkan tema rentas kluster.

Tujuh bidang fokus ini adalah:
i. Kesihatan Planet;
ii. Kimia dan Bioteknologi;
iii. Kegunaan Aman Nuklear;
iv. Inovasi Sosial;
v. Kejuruteraan;
vi. Nanoteknologi; dan
vii. Angkasa.

Manakala tema rentas kluster pula terdiri daripada:
i. Kreativiti
ii. Inovasi;
iii. Komunikasi Sains;
iv. Keselamatan;
v. Ekonomi;
vi. Kesejahteraan Rakyat;
vii. Kerjasama Antarabangsa;
viii. Pembudayaan dan Kesedaran; dan
ix. Kelestarian Alam – 41R.

Sasaran Penyertaan

MOSTI, selaku peneraju utama MSN Keluarga Malaysia 2022 mensasarkan penglibatan dan penyertaan sebanyak 1.5 juta yang terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar IPT, pendidik dan saintis, sektor awam dan dan sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai rekod, pada tahun 2020, kaedah konvensional MSN yang dirancang telah diubah suai secara keseluruhan di mana 95% aktiviti dan programnya diadakan secara maya. Jumlah keseluruhan libat urus (view/engagement) yang telah direkodkan bermula dari bulan April sehingga November adalah sebanyak 2,482,059.

Pada tahun 2021 pula, keseluruhan aktiviti MSN dilaksanakan secara atas talian. Sebanyak 157 program telah dilaksanakan dan merekodkan penyertaan sebanyak 1,034,771.

Sepanjang penganjuran MSN, fokus utama adalah pembabitan para pelajar sekolah dan IPT. Pendidikan dan pembudayaan STI juga dilihat perlu disemai daripada peringkat sekolah rendah lagi untuk menyemai minat pelajar dalam bidang berkaitan. Ini selari dengan usaha mendepani cabaran Industri 4.0 yang menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, kecerdasan buatan (AI), realiti berperantara (AR) dan sebagainya.

Ayuh, sertai sekarang! Layari portal rasmi MSN Keluarga Malaysia 2022, www.minggusainsnegara.com untuk pendaftaran dan ikuti aktiviti serta program yang dijalankan dalam talian.

Oleh: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast