Hairy menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima program Ihya Ramadan anjuran MSNJ.

JOHOR BAHRU – Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) giat melakukan pencarian atlet dan bakat baharu bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang akan berlangsung pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pencarian itu penting sebagai persediaan negeri menjadi tuan rumah temasya sukan berkenaan.

“Persediaan ke Sukma Johor 2024 sudah dimulakan, tahun ini dan tahun depan kita akan terus giatkan usaha mencungkil bakat-bakat baharu. MSNJ juga telah gerakkan semua pegawai mereka untuk jelajah seluruh Johor.

“Selain itu, persatuan-persatuan sukan juga telah diminta untuk menggiatkan usaha mereka dalam mencari bakat-bakat yang boleh diketengahkan untuk mewakilinya Johor pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan anjuran MSNJ di kediaman beberapa atlet yang kurang bernasib baik di Larkin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar.

Tambah beliau, pihaknya juga akan melaksanakan pemulihan terhadap venue-venue Sukma Johor sedia ada pada tahun depan.

Sementaar itu, MSNJ telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi menjayakan program Ihya Ramadan pada tahun ini.

Menerusi program tersebut, seramai 250 penerima terdiri daripada atlet, jurulatih dan bekas kakitangan awam yang kurang bernasib baik disantuni.

“Sumbangan melibatkan wang tunai sebanyak RM300 dan juga bakul makanan bernilai RM100 sebagai meraikan Ramadan dan juga persediaan mereka menyambut kehadiran bulan Syawal tidak lama lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette