Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Azman Taib (kiri) memberi sumbangan pada golongan asnaf dan golongan fakir miskin pada program Nur Ramadan di Masjid Amaniah Kepong, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 19 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Meskipun bantuan kepada masyarakat Kepong, dekat sini, tidak putus diberikan, namun masih ada yang terlepas pandang.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Azman Taib berkata, warga Kepong boleh hadir ke pejabatnya jika masih belum menerima sebarang bantuan.

“Kita alu-alukan kepada mereka yang terkesan, kalau nak datang minta bantuan, boleh datang ke Pejabat UMNO Bahagian.

“Boleh minta terus dengan berurusan di pejabat dan kita akan cuba bantu sehabis baik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada program Nur Ramadan di Masjid Amaniah, Kepong, hari ini.

Tambah Azman, prinsip UMNO Bahagian Kepong adalah mengutamakan kesejahteraan masyarakat Melayu di sekitar kawasan Parlimen tersebut.

“Walaupun tidak ramai orang Melayu di Kepong, tapi masih ada yang susah. Kita akan terus meningkatkan bantuan untuk tolong orang-orang Melayu di Kepong,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman mengakui telah menerima banyak permohonan daripada masyarakat Kepong yang meminta bantuan.

“Banyak lagi perlu dibantu, kepada mereka yang tak dapat bantuan lagi, kita mohon bersabar. Pasti akan sampai juga nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast