Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (kanan) bersama Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar (kiri) dan melancarkan Pelan Transformasi Strategik Hijrah24 di Menara TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji  (TH) berjaya mencapai nilai deposit tertinggi iaitu sebanyak RM86.5 billion setakat 31 Mac lalu.

Menurut pengerusinya, Tan Sri Azman Mokhtar, TH telah juga berjaya untuk menjadi sebuah institusi kewangan Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam Malaysia.

“Bahkan ia menjadi kebanggaan di peringkat ummah dan dunia juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Mengulas lanjut, Azman berkata, menerusi HIJRAH24 TH menyasarkan peningkatan saiz dana lebih dari RM100 bilion.

Sasaran itu dilihat melebihi RM13.5 bilion daripada pencapaian terbaharu.

Mengulas lanjut, Azman berkata, sebanyak 24 inisiatif di bawab HIJRAH24 yang akan dilaksanakan bermula 2022 sehingga 2024.

Beliau memberi jaminan TH akan  memperbaiki lagi tahap pencapaian demi untuk kemudahan dan kepentingan Jemaah dan pendepositnya.

“Hatta untuk memertabatkan bangsa, negara dan agama insyaAllah. Adalah dengan semangat, hasrat dan niat inilah, usaha strategik kami dirangka dan dimaktubkan di dalam Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 atau HIJRAH24 yang akan dilancarkan, insyaAllah,” tambahnya. – MalaysiaGazette