Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Persidangan Movenpick, Sepang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 APRIL 2022.

SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Mushaf Al-Quran edisi terkini dengan membawa beberapa pembaharuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau dimaklumkan bahawa kali terakhir KDN menerbitkan Mushaf al-Quran ialah pada 2014.

“Mushaf terbitan KDN ini membawa beberapa pembaharuan selaras dengan perkembangan semasa seperti tanda-tanda hukum berwarna yang bukan untuk kelihatan cantik semata-mata, tetapi berfungsi sebagai panduan bacaan bertajwid yang lancar dan betul.

“Edisi terkini ini mengandungi keenam-enam hukum tajwid berwarna sebagai mana yang ditetapkan dalam garis panduan bagi pewarnaan tajwid dan diberi nilai tambah berupa warna untuk waqaf (berhenti dan teruskan bacaan) dan ibtida’ (berhenti dan ulang bacaan),” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Ramadan di Pusat Konvensyen Movenpick Tabung Haji, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, penambahbaikan yang dibuat dalam edisi terkini Mushaf Al-Quran dapat memudahkan orang ramai membaca dengan tajwid serta bacaan yang tepat.

Tambah beliau, semua proses dari semakan hingga mendapat perakuan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran seperti mana yang termaktub dalam Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

“Ianya akan menjadi penanda aras atau model kepada pemain-pemain industri percetakan dan penerbitan al-Quran.

“Selain itu, Mushaf al-Quran ini juga bukan sahaja dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga kerja, bahkan mempercepatkan keseluruhan proses semakan dan penerbitan al-Quran.

“Diharap kerjasama strategik yang terjalin antara KDN dengan syarikat-syarikat penerbitan, kerajaan negeri dan para pemegang taruh akan merancakkan semula industri percetakan dan penerbitan di negara ini.

“Sedikit sebanyak impaknya aktiviti dan produktiviti industri percetakan akan segera pulih dan kembali cergas selepas terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast