Gambar hiasan

PADA bulan Ramadan, kita digalakkan melakukan amalan sunat seperti solat terawih, membaca al-quran, beriktikaf dan solat-solat sunat yang lain. Di waktu siangnya kita berpuasa menahan lapar dan dahaga, manakala malamnya kita beribadah demi mendapatkan keredaan ilahi. Pada sepuluh malam terakhir ini, terdapat satu malam yang didambakan oleh setiap muslim, iaitu malam Lailatul-Qadar.

Mengikut erti kata, lailah bermaksud waktu ketika matahari tenggelam sehingga terbit manakala al-Qadar bermaksud kemulian atau hukum dan ketetapan. Mengikut Surah al-Qadar ayat 1 hingga 3 yang bermaksud “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan”.

Berdasarkan ayat ini, kita hendaklah mengejar keampunan dan keredaan daripada Allah SWT di mana satu malamnya adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Antara amalan yang boleh ditingkatkan semasa malam-malam yang terakhir adalah beriktikaf, bersedekah, membaca al-quran, qiamullail, melalukan semua kebaikan dan menahan diri dari hubungan suami-isteri. Pada 10 malam terakhir inilah, Rasullah akan bersunguh-sunguh melakukan ibadah lebih banyak daripada bulan-bulan yang lain. Ini seperti diceritakan oleh ‘Aisyah R.Anha yang mengatakan bahawa “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya”.

Namun begitu, malam Lailatul-Qadar ini adalah disembunyikan di antara malam-malam yang terakhir. Antara hikmah dirahsiakan waktu sebenar lailatul-Qadar agar menjadi pendorong kepada umat Islam untuk mencari dan konsisten dalam melakukan ibadah. Selain itu, manisnya beribadah dapat dirasai pada setiap malam terakhir tanpa ada perasaan malas dan lesu. Pada malam-malam terakhir ini, mohon lah keampunan daripada Allah SWT seperti yang diajarkan oleh nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”. HR. Ahmad 25384, At-Tirmizi 3513, Ibn Majah 3850).

Di setiap kesempatan malam yang ada, lakukan solat sunat taubat agar dosa-dosa kita terhapus dan mohonlah agar dosa kita tidak berulang. Manusia merupakan insan yang lemah dan pada Allah SWT jua lah kita meminta kekuatan. Lakukan lah juga solat sunat tahajud dan tasbih agar dapat menambah ketakwaan dan kesyukuran kita kepada Allah SWT. Kembalilah kepadaNya agar kehidupan kita yang penuh cabaran dan dugaan ini kembali menjadi tenang.

Pada malam Lailatul-qadar juga, malaikat akan turun dan memberi kesejahteraan ke seluruh alam. Ini berdasarkan Surah al-Qadar ayat 4-5 yang bermaksud ”Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin  TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar”. Maka rugilah umat Islam yang masih hanyut dan leka pada malam-malam terakhir Ramadan ini. Ambillah peluang dan lakukan lah amalan yang baik dan beribadatlah. Semoga Allah SWT memberi keampunan kepada kita semua.

Oleh: Profesor Madya Dr. Azrul Hafiz bin Abdul Aziz
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia