SERI KEMBANGAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bekerjasama melaksanakan Program Jelajah Op Selamat ke-18 dan Program Go To The Safety Points (GSTP) di seluruh negara selama tiga hari bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, kedua-dua program tersebut akan memberi penekanan terhadap keselamatan pengguna dan advokasi berkenaan undang-undang trafik yang berkuatkuasa.
“Jelajah Op Selamat 18 akan bermula dari 22 hingga 24 April dengan melibatkan 47 buah stesen minyak Petronas di lokasi terpilih mengikut zon di semua negeri.
“Turut didedahkan peranan GSTP kepada orang ramai sekiranya berlaku situasi kecemasan dan tindakan awal yang perlu diambil sementara menunggu bantuan perubatan ambulans tiba ke lokasi memandangkan ramai di kalangan mereka bergerak balik ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran program tersebut di Stesen Petronas Solaris Putra Sungai Besi di sini hari ini.
Turut hadir menyaksikan program tersebut adalah Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalangan, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dan Ketua Keselamatan Kumpulan Petronas, Datuk Seri Zulkifili Abdullah.
Mat Kasim menambah inisiatif tersebut dilaksanakan PDRM dan juga Petronas untuk memastikan masyarakat Malaysia lebih cakna terhadap keselamatan jalan raya .
“Ketika ini masih ramai pemandu di atas jalan raya yang dikesan masih ingkar peraturan trafik semasa Op Selamat ke-17 dilaksanakan bersempena Tahun Baharu Cina Februari lalu.
“Maka menyedari hakikat ini, JSPT bersama Petronas melancarkan Jelajah Op Selamat ke-18 demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin dan tidak alpha.
“Kita akan pergi ke stesen minyak terpilih dan sama-sama memberi advokasi kepada masyarakat agar mereka sentiasa mengutamakan keselamatan mereka ketika meneruskan perjalanan kampung halaman,” katanya.
Sebanyak 47 stesen minyak Petronas telah terpilih untuk kempen tersebut melibatkan enam zon iaitu Zon Tengah (Kuala Lumpur,Selangor), Utara (Kedah,Pulau Pinang, Perak), Timur (Kelantan,Terengganu, Pahang),Selatan (Johor,Melaka,Negeri Sembilan), Sabah (Kota Kinabalu, Papar, Penampang) dan Sarawak (Kuching, Padawan, Kota Samarahan).
Sementara itu, Op Selamat ke-18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 masih mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ yang dijangka dilancarkan pada 26 April di peringkat induk dan akan mula beroperasi sepenuhnya pada 29 April hingga 8 Mei depan.- MalaysiaGazette