Pasukan yang diketuai oleh calon Presiden, Nivas Ragavan pada pemilihan KLSICCI hujung minggu ini.

KUALA LUMPUR – Pemilihan pemimpin Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) bagi penggal 2022-2024 pada Ahad ini dijangka sengit.

Nivas Ragavan yang akan bertanding bagi merebut jawatan Presiden berkata, beliau akan memastikan agenda perniagaan komuniti India terus cemerlang daripada pelbagai aspek.

“Manifesto dan apa yang boleh kami laksanakan pastinya menjadi daya tarikan, janji ini bukan retorik mahupun sekadar menarik di poster atau ruangan media sosial sahaja sebaliknya ini ikrar kami.

“Untuk makluman, pasukan kami telah menjalankan kaji selidik dan penyelidikan, bercakap dengan pelbagai pihak termasuk pemain industri dan ahli-ahli KLSICCI sendiri sebelum duduk lampas minda apakah sebenarnya dikehendaki dan bagaimana untuk bantu.

“Antara visi kami ialah menjadi organisasi barisan hadapan dalam membina serta mentransformasi komuniti perniagaan India yang mapan dan dinamik.

“Misi sehingga 2026 pula, mencapai sasaran transformasi ke arah memudahcara, pembangunan, pendigitalan, pengoptimuman, menambah nilai dan sebar luas jaringan usahawan India di pelbagai industri ke arah komuniti perniagaan India yang mapan serta dinamik,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Kata Nivas, beliau mahu terus memperkukuhkan hubungan antara Dewan Perniagaan bagi meningkatkan ikatan kerjasama dua hala dalam usaha memastikan peluang perniagaan dalam kalangan komuniti India terus berkembang.

“Kita juga akan akan menyokong para usahawan kita dalam mengoptimumkan revolusi industri 4.0 khasnya dalam pendigitalan,automasi, internet, keselamatan siber, analitik data raya, robotik, realiti maya dan semua yang berkaitan dengannya. Ini juga adalah realiti masa kini.

“Selain itu, kita juga akan memacu perusahaan kecil sederhana ke arah program export acceleration yang disediakan oleh pihak MATRADE selain memberi galakan serta advokasi bagaimana komuniti perniagaan India boleh langkah ke hadapan menghadapi pasca pandemik ketika ini,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya akan mempelbagaikan peluang pelaburan dan penyenaraian dalam pasaran ekuiti

Jelas Nivas, pasukannya juga akan bertindak sebagai pembimbing dan mentor dalam mentransformasikan belia ke arah minda membangun melalui keusahawanan.

Calon Presiden KLSICCI,Nivas Ragavan

“Banyak yang kita mahu lakukan jika mendapat mandat, hakikatnya kita tidak terus terjun begitu sahaja dan mengeluarkan manifesto untuk di tatap sebaliknya berikrar untuk merealisasikan semuanya kerana kami mampu melakukannya,” ujarnya.

Kali terakhir KLSICCI mengadakan pemilihan itu pada September 2020 dengan 29 calon bertanding merebut 18 jawatan dengan Datuk R Ramanathan menang jawatan Presiden tanpa bertanding. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast