Suspek kedua (berbaju putih yang cuba menyamun dua pelajar warga asing di Persiaran Dutamas semalam akhirnya dicekup di taman Beringin, Kuala Lumpur. - Gambar Ihsan Polis IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Polis memburu dua lelaki tempatan yang dikatakan suspek terlibat dalam jenayah cuba menyamun dan memukul wanita warga asing di ibu negara semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku  di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK)  Kiaramas, Persiaran Dutamas, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai.

Menurutnya, dalam insiden itu, seorang wanita itu dipukul oleh suspek menggunakan kayu sehingga mengakibatkan kecederaan pada badannya.

“Kita telah menerima laporan polis daripada mangsa  yang merupakan seorang pelajar berusia 26 tahun mengenai kejadian itu pada pukul 10.04 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku lebih kurang pukul 8.53 malam semasa mangsa sedang berjalan menuju ke pusat beli belah bersama seorang lagi rakan perempuannya yang juga merupakan seorang warganegara asing.

Selepas itu, kedua-dua lelaki yang menunggang motosikal menghampiri mereka dalam keadaan mencurigakan.

“Mangsa bertindak merakam aksi kedua-dua suspek lelaki tersebut menggunakan telefon bimbit setelah menyedari perbuatan mereka sangat mencurigakan,” katanya.

Tambah Eng Lai, setelah sampai ke penghujung jalan, suspek kemudiannya berpatah balik untuk menghampiri mangsa dan secara tiba-tiba rakan suspek yang membonceng motosikal cuba merampas telefon bimbit mangsa namun gagal.

“Kemudian berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan suspek bertindak memukul belakang badan mangsa menggunakan dahan kayu sehingga menyebabkan kecederaan.

“Oleh kerana ketakutan, mangsa telah berlari ke arah hadapan Sekolah Kebangsaan Kiaramas untuk meminta bantuan dari pengawal keselamatan sekolah yang sedang bertugas ketika kejadian itu,” katanya.

Tegas Eng Lai, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal bernombor pendaftaran WB9352P  dipercayai lelaki tempatan, terus beredar dari lokasi kejadian selepas menyedari pengawal keselamatan sekolah itu bertindak membantu mangsa.

Berikutan kejadian itu, polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 393/323 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan.

Kedua-dua suspek dipercayai memakai pelitup muka dan bertopi keledar semasa melakukan jenayah tersebut.

Polis memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan identiti suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nor Hafizullah Norahim di talian 017-2232031.- MalaysiaGazette