Sebuah lori kontena yang disyaki membawa rokok seludup merempuh bahagian belakang salah sebuah kereta peronda polis.

ISKANDAR PUTERI – Seorang pegawai kastam terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah lori yang cuba merempuh unit peronda polis (MPV) di Jalan Tuas-Lima Kedai, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut daripada pegawai kastam pada jam 1.12 tengahari.

“Tiga buah peronda MPV (unit kereta peronda) dikejar ke lokasi kejadian sehingga menyebabkan berlakunya insiden mengejar sebelum lori berkenaan berjaya ditahan.

“Insiden itu bermula dari Jalan Danga Bay sehingga sejauh kira-kira 20 kilometer dengan anggaran masa satu jam. Sebelum berjaya ditahan lori berkenaan telah merempuh bahagian belakang salah sebuah MPV polis sehingga mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Jalan Tuas-Lima Kedai, Iskandar Puteri dan pemeriksaan mendapati lori terbabit sedang membawa muatan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

Tambah beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan dan pemandu lori berkenaan kini direman selama 10 hari bermula hari ini sehingga 1 Mei depan.

“Polis akan bekerjasama dengan kastam untuk memastikan saki baki ahli sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan tonto terlibat dibanteras kerana mereka telah mengancam keselamatan penguatkuasa,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39D Akta Senjata Api 1960.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat di talian 017-2123370 atau mengunjungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette