Maut pusat karaoke
Kebakaran pusat karaoke di Mergong, Kedah menyebabkan tiga pengunjung maut. -Gambar JBPM

ALOR SETAR – Tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai lemas dengan asap tebal akibat terperangkap dalam kebakaran di sebuah pusat hiburan karaoke di Jalan Putra, Mergong dekat sini, hari ini.

Mangsa lelaki yang maut dikenali sebagai Jeffrey Tan Yan Wei, 30, dan Mark Barry, 32, manakala wanita yang maut dikenali sebagai Kim Mei Kit, 31 tahun dan kesemua mereka merupakan pelanggan pusat hiburan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.19 pagi tadi.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan BBP Jalan Raja telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membuat pemadaman di bangunan Kelas A berkenaan. Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian.

“Bomba dimaklumkan oleh pemilik pusat hiburan bahawa terdapat 11 individu di dalam premis yang tidak beroperasi ketika kejadian. Bagaimanapun, lapan daripadanya berjaya keluar manakala tiga lagi pelanggan terperangkap di dalam bilik karaoke,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Syufaat berkata pihaknya berdepan kesukaran untuk mencari mangsa yang terperangkap berikutan asap tebal selain bilik karaoke yang telah diubah suai.

“Lepas pemadaman dilakukan, anggota bomba terus masuk ke dalam premis tetapi tidak menemukan sebarang mangsa. Pusat hiburan ini banyak bilik dan kami dapati banyak yang telah diubah suai dan ada juga bilik rahsia dan ini menyukarkan lagi proses pencarian mangsa.

“Kami dapat bantuan daripada pemilik premis untuk kenal pasti kedudukan bilik-bilik yang ada di situ. Mangsa pertama yang kami jumpa ialah Mark di bilik VIP 1 manakala Jeffrey dan Kim ditemukan di bilik VIP 2,” katanya.

Syufaat berkata setakat ini pihak polis dan pemilik mengesahkan tiada mangsa lain yang berada di dalam premis dan kerja-kerja akhir sedang dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang dibimbangi akan menyebabkan berlaku kebakaran lagi.

“Kerja-kerja untuk mengeluarkan asap dari premis berkenaan sedang dilakukan dan pasukan forensik kebakaran bomba juga telah masuk untuk menjalankan siasatan. Buat masa ini punca kejadian masih belum diketahui,” katanya.

Katanya premis itu tidak beroperasi ketika kejadian, namun mangsa berkenaan berkemungkinan bermalam di situ sebelum kebakaran tersebut berlaku.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast