Norliza menyampaikan Watikah MPP dan Penyerahan Sumbangan Zakat di Kolej Yayasan Pelajaran Johor di Kulai hari ini.

JOHOR BAHRU – Lantikan pemimpin pelajar institusi pengajian Tinggi memainkan peranan penting bagi melengkapkan kemahiran dan profesionalisme seseorang itu selepas tamat pengajian.

Exco Pendidikan, Penerangan, dan Komunikasi Johor, Norliza Noh berkata, ia merupakan peluang bagi mahasiswa menimba pengalaman yang boleh diaplikasikan dialam pekerjaan kelak.

Beliau berkata, situasi itu juga memberi ruang kepada golongan belia mengasah bakat kepimpinan mereka.

“Sebagai barisan MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) yang baharu anda perlulah sentiasa bersedia berhadapan dengan cabaran kepimpinan pada peringkat kolej serta mengadakan transformasi bersesuaian dengan keperluan semasa dan perubahan persekitaran.

“Lantikan ini adalah satu tanggungjawab yang besar,satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Menjadi seorang pelajar dan dalam pada masa sama menjadi pemimpin bukanlah suatu perkara mudah, ia merupakan satu tugas yang berat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Watikah MPP dan Penyerahan Sumbangan Zakat di Kolej Yayasan Pelajaran Johor di Kulai hari ini.

Beliau berkata, MPP bukan sahaja menjadi mata, telinga pihak pengurusan malah harus bersedia memberikan bantuan kepada rakan-rakan yang mungkin mengalami masalah sepanjang proses pembelajaran.

Sebagai pemimpin muda juga, MPP,  harus menunjukkan imej yang bersih selain menjaga nama baik pihak kolej.

“Yang manis yang indah kita cerita pada orang tetapi yang kurang manis seeloknya kita simpan sahaja di dalam hati. Kita perlu bijak melaksanakan tanggungjawab kita supaya semua pihak berpuas hati dan meneika manfaat dengan kepimpinan yang diberi kepada kita,” katanya.

Dalam majlis itu juga turut menyaksikan 20 pelajar asnaf daripada golongan B40 menerima bantuan zakat sempena sambutan Aidilfitri.

Zakat yang sama turut diagihkan kepada 80 pelajar asnaf yang lain dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette