Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Seorang pelajar Malaysia tahun ketiga jurusan pergigian di Universiti Alexendria, Mesir meninggal dunia akibat penyakit batuk kering atau tibi.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, mangsa dimasukkan ke Hospital Alexendria selama 15 hari dan meninggal dunia pada jam 8 malam 22 April lalu.

Jenazah mangsa, Husna Solehah Mohd Salleh, 21, tahun dari Kelantan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Malaysia di Kaherah.

“Dukacita dimaklumkan seorang pelajar Malaysia telah meninggal dunia setelah dimasukkan ke sebuah hospital elit di Mesir pada 7 April lalu akibat tuberculosis (tibi).

“Jenazah Allahyarhamah diuruskan oleh wakil di Kaherah dengan kerjasama pihak lain termasuk sahabat handai arwah yang berada di sana.

“Keluarga arwah berhubung dengan pihak pengurusan bersetuju arwah dikebumikan di Kaherah dengan pembiayaan sendiri,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama komuniti dan 50 anak orang kurang upaya (OKU) di Indera Mahkota, dekat sini, hari ini.

Katanya, jenazah pelajar perempuan tersebut disembahyangkan di Bangunan Mara di Kaherah. – MalaysiaGazette